Polis buru suspek rompak menyamar pegawai kesihatan
Petrus Bernard
Disember 3, 2019 07:12 MYT
Disember 3, 2019 07:12 MYT
Polis sedang memburu tiga penjenayah susulan kejadian seorang suri rumah disamun tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kesihatan, di sebuah rumah di Batu 6, Jalan Apas, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, tiga lelaki berumur antara 20-an dan 30-an itu telah datang ke rumah berkenaan, kononnya bagi menjalankan pemeriksaan jentik-jentik.
Wanita yang ketika itu bersendirian di rumah, terus membenarkan tiga lelaki tersebut masuk.
Mereka kemudiannya bertindak menggeledah rumah tersebut dan melarikan barang kemas serta wang tunai berjumlah RM1,000.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha mengesan dan memburu penjenayah berkenaan.
"Saya telah membuat perbincangan dengan beberapa kumpulan kita untuk mengesan penjenayah ini. Memang kita buat penyiasatan terperinci, termasuk mendapatkan CCTV dari negara jiran.
"Perkembangan lanjut akan saya bawa dalam masa terdekat ini," katanya.
Peter berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas menghadiri sesi latihan tempur jarak dekat oleh pasukan Unit Strike Team dari IPD Tawau di kawasan Teck Guan Coco Village di Bukit Queen Tawau pada Selasa.
Mengulas lanjut, Peter berkata, kejadian seumpama itu merupakan kes kedua berlaku di daerah ini tahun ini.
Sehubungan itu, Peter menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang datang mengaku sebagai penjawat awam tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.
#CCTV
#jabatan kesihatan
#keselamatan
#pegawai kesihatan
#pemeriksaan jentik-jentik
#penjawat awam
#Peter Umbuas
#polis
#suspek
#Tawau