Polis buru suspek ragut warga emas di Manjoi
Aida Aziz
Februari 27, 2023 21:40 MYT
Februari 27, 2023 21:40 MYT
IPOH: Polis sedang giat memburu suspek yang terbabit dalam kejadian ragut seorang wanita warga emas dekat Jalan Anggerik, Kampung Manjoi Tambahan, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, hari ini pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 33 saat yang tular di media sosial Twitter, memaparkan seorang wanita diragut oleh seorang penunggang motosikal.
"Semakan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada 25 Februari lalu, kira-kira jam 9.39 pagi di tepi Jalan Anggerik, Kampung Manjoi Tambahan.
"Semasa kejadian, mangsa wanita berusia 63 tahun yang berjalan di tepi jalan telah diragut beg tangan oleh seorang penunggang motosikal dari belakang.
"Antara barangan peribadi mangsa yang dilarikan suspek termasuklah wang tunai RM1,500, telefon bimbit dan dokumen-dokumen peribadi, namun mangsa tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Katanya lagi, satu laporan polis turut diterima daripada mangsa terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun).
Beliau berkata, pihak polis masih sedang giat memburu suspek yang masih bebas.
Tambahnya, polis turut menyeru kepada orang awam yang telah menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat.
Terutamanya pemandu dua buah kereta yang kelihatan mengejar suspek dalam video tersebut, supaya tampil membantu siasatan pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp. M. Gopirajan di talian 016-3278390 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.