Polis buru suspek kes belasah pekerja perkhidmatan keranda guna rantai besi

Astro Awani
April 11, 2022 18:58 MYT
ACP Cha Hoong Fong menunjukkan gambar suspek, Chong Guang Ming, 49, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari, ini. - Foto BERNAMA
KLANG: Polis Klang sedang memburu seorang suspek bagi membantu siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan seorang lelaki mencabar rakannya memotong jari dan memukulnya dengan rantai besi.

Video berdurasi 7 minit 39 saat itu telah dimuat naik di laman Facebook 'Taiko Malaysia'.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, susulan penyebaran video itu, seorang lelaki yang dipercayai mangsa dalam video terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Klang sekitar jam 1 pagi tadi.

Menurut pengadu, kejadian terbabit berlaku pada 13 November tahun lalu di rumah majikannya di Taman Chi Liung Klang.

Mangsa yang bekerja di sebuah kedai membuat keranda itu dikatakan bertengkar dengan suspek yang juga seorang lelaki tempatan gara-gara tidak berpuas hati dengan kematian seorang wanita yang merupakan teman wanita mangsa.

Ketika pertengkaran itu suspek telah menampar mangsa sebanyak dua kali selain turut mencabar untuk memotong jari kelingking mangsa bagi membuktikan dia tidak terbabit dengan kematian teman wanitanya.

Mangsa dikatakan telah pengsan dan dibawa ke hospital untuk rawatan, namun tidak membuat sebarang laporan polis sewaktu itu.

Kira kira jam 9.30 malam tadi, suspek yang sama dikatakan telah datang ke rumah majikannya sebelum bertindak memukul mangsa dengan rantai besi sehingga mendapat kecederaan di bahagian belakang badan, kepala, tangan kiri dan kaki.
Suspek yang dikenali sebagai Chong Guang Ming berusia 49 tahun itu juga telah merakam video kedua-dua insiden itu menggunakan telefon bimbit suspek sebelum dimuat naik di laman sesawang Facebook.
Justeru, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata.
"Selain itu polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan video mangsa dipukul itu tular dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media mengulas berhubung penularan sebuah video berdurasi 7.39 minit yang berkaitan dengan kes itu.
#pukul guna rantai besi #belasah #pekerja perkhidmatan penyediaan keranda #polis Klang
;