Polis buru pemilik akaun Facebook hina anggota polis terbabit dalam kemalangan
Bernama
April 27, 2018 20:43 MYT
April 27, 2018 20:43 MYT
Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook (FB), 'Tengku Badaruddin' kerana menghina anggota polis Unit Pasukan Peronda Lebuh Raya (EMPV) dalam loghat Kelantan yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Changkat Jering, dekat sini, semalam.
Pemilik FB itu mendakwa kemalangan itu berpunca apabila kenderaan EMPV itu mengejar sebuah lori untuk mendapatkan habuan.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata kertas siasatan dibuka susulan laporan polis dibuat oleh Komander EMPV Zon Utara 3, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Inspektor Mohd Izarrie Shafie, kerana mengandungi maklumat palsu dan menghina anggota polis.
Beliau berkata kenyataan dalam FB itu itu adalah palsu dan kemalangan tersebut berlaku sewaktu anggota EMPV sedang membantu kenderaan mangsa yang mengalami kerosakan dan bukannya seperti yang diviralkan itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas kenyataan FB itu semasa melawat dua anggota polis yang cedera, Koperal Khairul Zulhamie Mat Deris, 29 (patah kaki kiri) dan Koperal Mohd Zamri Zainal, 47 (patah kaki kanan), di Wad 14 Hospital Taiping, di sini, hari ini.
Katanya, kes pemilik FB itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.
Dalam kemalangan jam 8.30 pagi itu, seorang pelajar kolej swasta, Muhd Hakeem Badrol Hisham, 21, maut manakala dua anggota polis itu cedera dan seorang lagi anggota terselamat selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 223.1 Lebuhraya PLUS berhampirana Changkat Jering, dekat sini.
Anggota polis berkenaan berhenti di bahu jalan untuk membantu mangsa yang tayar keretanya pancit apabila sebuah lori yang membawa muatan barangan runcit dipandu oleh lelaki berusia 35 tahun hilang kawalan lalu melanggar kereta peronda polis dan kereta mangsa.
Mohamad berkata pemandu lori itu direman empat hari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing pemandu lori itu didapati positif dadah dan turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kemalangan jalan raya.
-- BERNAMA
#anggota polis
#berita palsu
#berita tular
#EMPV
#Facebook
#kemalangan
#lebuh raya
#PLUS
#polis trafik