Polis buru pemandu lori langgar lari

Sinar Harian
Jun 19, 2024 10:00 MYT
Tangkap layar kejadian langgar lari di KM 30, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran lampu isyarat Taman Sri Saujana, pada Isnin. - Foto Sinar Harian
KOTA TINGGI: Polis memburu seorang pemandu lori berhubung kes langgar lari di Kilometer (KM) 30, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran lampu isyarat Taman Sri Saujana, pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes kemalangan berkenaan sekitar jam 4 petang.
"Siasatan mendapati kes berkenaan telah tular di laman sosial Facebook melibatkan tiga kenderaan.
"Kenderaan terlibat adalah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang wanita warga tempatan berusia 34 tahun, Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dan lori jenis Ford Rigid yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 55 tahun.
"Dalam kemalangan itu, kesemua pemandu disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 10 L 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan yang dipandu dan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. - Sinar Harian
#langgar lari #Lori #lampu isyarat #media sosial
;