Polis buru pemain bola acu senjata terhadap lawan kerana selisih faham

Afiezy Azaman
Ogos 5, 2024 03:35 MYT
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut.
KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki membawa dan mengacukan senjata semasa perselisihan faham yang berlaku dalam perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre, Desa Melawati, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun, pada 2.21 pagi, pada Isnin.
"Ketika kejadian, pengadu menyatakan berlaku perselisihan faham antara pasukannya dan pasukan lawan.
"Dia mendapati salah seorang pemain daripada pasukan lawan telah membawa masuk senjata tajam ke dalam padang dan mengacukan kepada salah seorang pemain pasukannya," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mohammad Lazim berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," ujarnya.
Hasil semakan Astro AWANI, perlawanan bola sepak tersebut merupakan liga sosial.
#senjata #Mohammad Lazim Ismail #KLFA Football Centre #suspek