Polis buru lelaki ugut isteri guna senapang buatan sendiri

Bernama
Januari 22, 2019 09:59 MYT
Suspek mengacukan senapang buatan sendiri (bakakuk) kepada isteri dan anak mereka, menyebabkan wanita itu menjerit meminta pertolongan jiran sebelah rumah. - Gambar hiasan
Polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki yang disyaki mengugut isterinya dengan menggunakan selaras senapang buatan sendiri atau bakakuk dalam kejadian di Kampung Gorowot Kuala Penyu dekat sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak berkata, terdahulu, seorang wanita berusia 37 tahun membuat laporan polis mendakwa dia diugut dengan selaras senapang dan ditumbuk dimulut oleh suaminya pada kira-kira pukul 9.00 malam.
Kejadian berlaku ketika wanita itu baru balik ke rumah selepas keluar membantu ibunya membuat sagu, katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurutnya wanita itu mendakwa suaminya yang dalam keadaan mabuk memarahinya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka dan lelaki itu kemudian mengambil senapang buatan sendiri yang disimpan di dapur rumah dan memasukkan peluru.
Beliau berkata lelaki itu kemudian mengacukan senapang itu kepada isteri dan anak lelaki mereka berusia lapan tahun, menyebabkan isterinya menjerit meminta pertolongan jiran sebelah rumah.
Azmir berkata lelaki itu terus menyimpan senapang berkenaan ke dalam keretanya dan menumbuk mulut isterinya sebelum melarikan diri, dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.
-- BERNAMA
#Azmir Abdul Razak #bakakuk #Beaufort #Kampung Gorowot Kuala Penyu #pertengkaran #senapang buatan sendiri #suami isteri #tumbuk #ugut isteri #ugutan jenayah
;