Polis buru lelaki tampar anak tiri

Sinar Harian
Mac 11, 2022 15:10 MYT
Pada Jumaat, tular video menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dimarahi dan ditampar seorang lelaki. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
SHAH ALAM : Tindakan seorang pemandu lori memukul anak tirinya membawa padah apabila suspek kini diburu polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu sebelum video mengenainya tular di media sosial.
"Laporan dibuat oleh seorang wanita yang merupakan ibu kepada kanak-kanak berumur lima tahun tersebut pada 11 Mac lalu.
"Ibu mangsa mendakwa anak lelakinya itu dipukul oleh suami baharunya yang juga adalah bapa tiri kepada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, hasil penelitian video tersebut mendapati suspek sedang memarahi mangsa.
"Suspek turut bertindak menampar serta memulas kedua tangan mangsa.
"Ibu mangsa kemudiannya mempertahankan mangsa daripada terus dipukul oleh suspek dengan memeluk mangsa," katanya.
Menurutnya, suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
"Suspek dikenal pasti seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun dan usaha menangkap suspek sedang dijalankan.
"Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
Pada Jumaat, tular video menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dimarahi dan ditampar seorang lelaki.
Menerusi video tersebut, seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak berkenaan kemudiannya bertindak memeluk dan menyelamatkan anaknya itu daripada terus dipukul.
Artikel asal disiarkan Sinar Harian.
#Tular #tampar anak tiri #polis #shah alam