Polis buru lelaki paut belakang treler bergerak
Sinar Harian
Februari 17, 2024 12:15 MYT
Februari 17, 2024 12:15 MYT
KULAI: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan aksi berbahaya dengan berpaut pada belakang sebuah treler bergerak atas lebuh raya pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular dalam media sosial pada jam 12 tengah hari Jumaat berhubung kejadian itu.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 10 pagi kelmarin di Kilometer 35 Lebuhraya Link Kedua menghala ke arah Senai.
"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, pemandu lori Scania dari Kangkar Pulai menghala ke kawasan Perindustrian Senai tidak menyedari terdapat seorang lelaki berpaut di belakang lori yang dipandunya.
"Pemandu terbabit hanya menyedari perkara itu setelah rakannya menghantar video viral berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pemandu lori berumur 36 tahun itu kemudian hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan.
Seng Lee meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki tersebut untuk tampil memberi maklumat di IPD Kulai atay hubungi Pegawai Penyiasat ditalian 0167573507.
Kes disiasat di bawah Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian