Polis buru enam suspek terlibat kes bunuh di Ipoh

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 3, 2016 13:19 MYT
Mangsa, yang berasal dari Buntong ditemui dengan kesan tetakan di bahagian kepala dan dipercayai terlibat dalam sebuah pergaduhan. - Gambar hiasan
Polis Ipoh sedang berusaha mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dengan kematian seorang pengawal keselamatan di kawasan perumahan Jalan Temenggong, Pasir Putih pada awal pagi Rabu.
Dalam kejadian sekitar 7.38 pagi itu, mayat mangsa, yang dikenali sebagai Raymond, 35, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat letak kereta rumah yang didiami tiga wanita warga emas.
Mangsa, yang berasal dari Buntong ditemui dengan kesan tetakan di bahagian kepala dan dipercayai terlibat dalam pergaduhan beberapa jam sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku rentetan insiden pergaduhan antara mangsa dan enam lagi suspek di sebuah restoran berhampiran kawasan perumahan pada malam sebelumnya.
"Pengadu iaitu majikan kepada mangsa sedang minum bersama empat orang pekerjanya di sebuah restoran sebelum didatangi tiga buah kenderaan yang dipandu oleh enam suspek.
"Keenam-enam suspek itu kemudian menyerang kesemua mereka dengan bersenjatakan parang dan dalam kejadian itu, seorang daripada pekerja telah ditetak di bahagian tangan kirinya manakala yang lain melarikan diri," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Mesyuarat Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Rabu.
Katanya, mangsa dipercayai sedang melarikan diri ke taman perumahan di Jalan Temenggong daripada kesemua suspek sebelum insiden tragis berkenaan berlaku.
Jelasnya, siasatan awal mendapati terdapat tompokan dan kesan darah daripada jalan utama menuju ke Jalan Temenggong dalam jarak sepanjang 50 meter dipercayai milik mangsa.
Sum berkata, ketika ditemui dompet dan telefon bimbit mangsa masih berada bersamanya.
"Rakan mangsa yang ditetak di tangan kiri telah dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kami akan menyemak sama ada mangsa mempunyai rekod jenayah lampau,"ujarnya.
#bunuh #kes bunuh #mayat #PDRM #pengawal keselamatan mati dibunuh #polis
;