Polis buru enam lelaki pecah masuk kedai peralatan elektrik

Bernama
November 14, 2021 22:38 MYT
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan umpilan pada gril dan penutup premis berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
SUNGAI PETANI: Polis memburu enam lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah kedai peralatan elektrik dan melarikan 24 gulung wayar tembaga serta beberapa peralatan lain di Taman Beringin Indah di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata polis menerima panggilan berhubung kejadian yang menyebabkan kerugian RM20,000 itu pada 4 pagi dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan umpilan pada gril dan penutup premis berkenaan.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati enam lelaki memecah masuk ke dalam kedai dan melarikan wayar tembaga tersebut menaiki lori. Tiga daripada lelaki itu menunggang tiga jenis motosikal berasingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#pecah masuk kedai #kedai peralatan elektrik #Taman Beringin Indah #Polis Daerah Kuala Muda #Adzli Abu Shah
;