Polis buru empat suspek terlibat kes tetak di Wakaf Mek Zainab

Bernama
Mac 5, 2017 20:21 MYT
Ab Rahman berkata lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai rakan kepada empat suspek berkenaan, ditahan di rumahnya di Jalan Atas Paloh, di Kota Bharu pada pukul 11 malam tadi . - Gambar Fail
Polis menahan seorang lelaki dan memburu empat suspek lain berusia 19 hingga 30-an yang dipercayai terlibat dalam kes pukul dan tetak di Wakaf Mek Zainab, di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai rakan kepada empat suspek berkenaan, ditahan di rumahnya di Jalan Atas Paloh, di sini pada pukul 11 malam tadi untuk membantu siasatan.
Beliau berkata kesemua suspek kini dipercayai sudah menyembunyikan diri selepas mangsa membuat laporan polis.
"Lelaki yang ditahan itu dipercayai sebahagian daripada kumpulan sama tetapi tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku.
"Dia kini direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Ab Rahman berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara beramai-ramai.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi semalam, seorang lelaki cedera di kepala, tangan dan paha selepas diserang empat lelaki ketika sedang minum di sebuah kedai selepas dihubungi seorang suspek untuk membincangkan urusan jual beli kamera.
Bagaimanapun, ketika sedang melihat kamera, mangsa diserang secara tiba-tiba menggunakan kelewang, kayu dan batang besi oleh kesemua suspek berkenaan. -- Bernama
#Dr Ab Rahman Ismail #Kanun Keseksaan #Ketua Polis Kelantan #Suspek tetak #Wakaf Mek Zainab
;