Polis buru dua suspek terlibat kes curi di Kota Kinabalu

Mirlen Axtius
Ogos 16, 2022 10:30 MYT
Perbuatan dua suspek lelaki itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah premis gadget di Pusat Beli Belah Suria. - Foto PDRM
KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu giat mengesan dua suspek yang terlibat dengan tiga kes kecurian berasingan di beberapa kawasan Kota Kinabalu pada Jumaat dan Isnin lalu.
Jurucakap polis berkata, perbuatan dua suspek lelaki itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah premis gadget di Pusat Beli Belah Suria, Sabah kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu.
"Lebih kurang jam 2 petang bertempat di XIAOMI Store, Pusat Beli Belah Suria Sabah, Kota Kinabalu, pengadu menyedari kehilangan barang perniagaan iaitu earphone.
"Melalui semakan CCTV ianya telah dicuri oleh individu tidak dikenali pada 12 Ogos lalu. Anggaran kerugian didapati lebih kurang RM1,098 dan suspek tidak dikenalpasti," katanya.
Sementara itu pihaknya turut mendapat aduan berkenaan kereta yang telah dipecah masuk di Jalan Segama pada pagi Isnin lalu.
"Pada 15 Ogos lalu lebih kurang jam 6.30 pagi di lot parkir awam berhampiran Hotel 1 City, Jalan Segama Kota Kinabalu, pengadu melaporkan keretanya telah dipecah masuk oleh individu yang tidak dikenali.
"Hasil pemeriksaan mendapati satu unit komputer riba telah hilang serta kerugian didapati lebih kurang RM1,500. Suspek tidak dikenalpasti." jelasnya.
Manakala pada jam 9 pagi terdapat satu lagi kejadian pecah masuk oleh individu tidak dikenali di sebuah premis perniagaan Sri Samakayah Sdn Bhd, Alamesra.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kehilangan seunit komputer riba, sebuah peti sejuk, sebuah mesin pencetak, peralatan tulis dan makanan ringan.
Anggaran kerugian lebih kurang RM10,000 dan suspek tidak dapat dikenal pasti.
#kes curi #suspek #CCTV #premis gadget
;