Polis buru dua lelaki beruniform RELA rompak kedai emas di Taiping

Bernama
Mac 6, 2020 22:31 MYT
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bukan anggota Rela. - Gambar fail
Polis memburu dua lelaki yang memakai uniform anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang disyaki terlibat dalam satu kes rompakan sebuah kedai emas di Pokok Asam, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, suspek menaiki sebuah motosikal sebelum masuk ke dalam kedai dan memecahkan cermin pameran dengan menggunakan kapak sebelum melarikan sejumlah barang kemas.
Ketika kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai emas terbabit manakala pemiliknya berada di bilik belakang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bukan anggota Rela dan barang kemas yang dilarikan hanya daripada perak, katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Sukarelawan Malaysia #kedai emas #kes rompakan #lelaki beruniform RELA #Pokok Asam #Polis Daerah Taiping #Taiping
;