Polis buka siasatan kes penularan rakaman prosiding kes Najib

Bernama
April 20, 2019 00:14 MYT
Rakaman dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil pada tengah hari Jumaat, dan sudah ditonton lebih 227,000 kali selain dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen. - Gambar fail
Polis telah membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan polis, di Balai Polis Batu 9, Cheras.
"Siasatan dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Pada Jumaat, video berdurasi dua minit 12 saat bertajuk 'Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib' memaparkan rakaman peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi, tular menerusi media sosial.
BACA: Video bicara Najib tular: Serah kepada hakim ambil tindakan - Liew
Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil pada tengah hari Jumaat, dan sudah ditonton lebih 227,000 kali selain dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen.
Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
-- BERNAMA
#Facebook #laporan polis #mahkamah #media sosial #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #polis #Rusdi Mohd Isa #sedutan prosiding #siasatan #video
;