Polis buka kertas siasatan terhadap wartawan portal

Bernama
April 24, 2016 07:20 MYT
Dr Annuar Rapaee dilaporkan telah melahirkan rasa kesal ke atas laporan berita itu yang didakwa telah dipetik di luar konteks upcapannya.
Polis Sarawak hari ini mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap seorang wartawan portal berhubung laporan berita yang dikatakan mampu mengganggu ketenteraman awam di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar M. M. Sree Shunmugam berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Enam laporan polis telah diterima di Sibu berkenaan laporan berita yang dikatakan telah ditulis oleh seorang wartawan portal berita berkenaan.
"Kita akan memanggil wartawan berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Wartawan itu menulis berita bertajuk 'Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak' yang dipetik di luar konteks ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee di Sibu.
Laporan berita Malaysiakini itu menyebabkan timbulnya kekeliruan dan kemarahan rakyat Sarawak.
#kertas siasatan #portal berita #wartawan