Polis buka kertas siasatan terhadap Exco langgar SOP Aidilfitri - Ketua Polis Selangor
Umavathi Ramayah
Mei 21, 2021 13:47 MYT
Mei 21, 2021 13:47 MYT
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Tanjung Sepat, Kuala Langat, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Exco tersebut dan individu-individu lain yang menghadiri sambutan itu akan dipanggil untuk direkodkan keterangan dalam masa terdekat.
"Kita membuka kertas siasatan petang semalam selepas sebuah gambar mengaitkan pelanggaran SOP itu tular di media sosial," katanya dalam sidang media yang dikendalikan secara dalam talian, pada Jumaat.
Arjunaidi turut memaklumkan, setakat pagi ini, kesemua mereka termasuk Exco tersebut masih belum dipanggil.
Beliau mengesahkan kes itu disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
"Kalau siasatan mendapati wujud kesalahan, maka kita akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang," tambahnya.
Sebelum ini tular gambar di Twitter berserta kapsyen 'Satu lagi kes perlanggaran SOP melibatkan kluster kayangan.. tarikh dan masa dah terpampang kat gambar2 tu’.
Ciapan itu dimuat naik pada pukul 11.27 pagi, Khamis.
#Ketua Polis Negara
#Polis Diraja Malaysia
#IPK Selangor
#Ketua Polis Selangor
#rampasan dadah
#langgar SOP
#Exco Selangor