Polis buka kertas siasatan selebriti langgar SOP ziarah Aidilfitri
Umavathi Ramayah
Mei 17, 2021 19:29 MYT
Mei 17, 2021 19:29 MYT
AMPANG JAYA : Polis membuka kertas siasatan ke atas keluarga seorang selebriti di Hulu Kelang, Ampang Jaya selepas sekeping gambar sambutan Hari Raya Aidilfitri tular di media sosial pada Isnin.
Ia susulan penganjuran majlis berkenaan yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, gambar berkenaan menunjukkan sambutan bersama seisi keluarga selebriti itu yang melibatkan kira-kira 13 individu yang dipercayai tidak tinggal sebumbung.
Sehubungan itu katanya, polis akan memanggil kesemua mereka untuk direkodkan keterangan.
"Berdasarkan gambar yang tular kira-kira pukul 4 petang, pada 17 Mei (hari ini), kita mendapati berlakunya pelanggaran SOP berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.
"Aktiviti ini adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan gambar seisi keluarga termasuk bersama bekas isteri yang dikongsi pelakon Norman Hakim mengundang persoalan netizen tentang pematuhan SOP kerajaan yang tidak membenarkan sesi ziarah ketika Aidilfitri.
Berdasarkan satu hantaran foto yang dimuat naik pelakon itu dalam Instagramnya, kelihatan Norman bersama isteri, Memey Suhaiza dan anak-anak bergambar bersama keluarga bekas isterinya iaitu penyanyi dan juga pelakon, Abby Abadi.
Turut kelihatan dalam gambar itu adalah suami kepada Abby iaitu Muhammad Faizal Zakaria serta anak angkat mereka dengan jumlah individu yang berada dalam gambar tersebut adalah seramai 13 orang.
Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, majlis tersebut di jalankan tanpa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau memberitahu, kes itu akan disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
"Kita meminta orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan.
"Juga ingin menyeru agar orang ramai mematuhi arahan dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa," tegasnya.
Dalam perkembangan yang sama, katanya sepanjang tahun 2021 sehingga 16 Mei lalu sebanyak 599 kompaun telah dikeluarkan dengan 16 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan langgar perintah dan syarat SOP.
#selebriti
#langgar SOP
#Aidilfitri
#ziarah
#Ketua Polis Negara
#IPD Ampang Jaya
#Polis Diraja Malaysia