Polis buka kertas siasatan pelajar aksi tidak senonoh dalam perpustakaan universiti

Bernama
Mac 22, 2025 18:16 MYT
Tangkap layar sebuah video tular menunjukkan seorang lelaki berkelakuan tidak senonoh dalam perpustakaan sebuah universiti swasta di Subang Jaya, Selangor.
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung seorang lelaki dipercayai penuntut sebuah universiti swasta yang melakukan perbuatan tidak senonoh di perpustakaan universiti berkenaan, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ringkasan AI
  • Polis membuka kertas siasatan berhubung seorang lelaki dipercayai penuntut universiti swasta yang melakukan perbuatan tidak senonoh di perpustakaan, yang tular di media sosial.
  • Keterangan suspek belum dirakam dan polis akan meminta pihak keluarga membawa suspek untuk merakam keterangannya minggu depan.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata laporan mengenai dua video tular itu telah dibuat oleh orang awam malam semalam.
"Hasil siasatan awal mendapati rakaman video memaparkan seorang lelaki, disyaki pelajar, melakukan perbuatan tidak senonoh di perpustakaan sambil menonton video di komputer ribanya.
"Keterangan suspek masih belum dirakam. Kita akan meminta pihak keluarga untuk membawa suspek bagi tujuan merakam keterangannya pada minggu depan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," tambahnya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk menghubungi Insp. T. Vanitha di talian 017-2229832 atau 03-78627222, atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
-- BERNAMA
#aksi tidak senonoh #perpustakaan universiti #kertas siasatan #polis Subang Jaya
;