Polis buka kertas siasatan kes wanita terjun jambatan

Dewi Nur Harasha Alias
April 19, 2018 21:43 MYT
Thaiveegan mengingatkan orang ramai supaya berfikiran rasional dan tidak mengambil tindakan melulu sehingga menyusahkan pihak lain. -Astro AWANI
Polis membuka kertas siasatan kes seorang wanita terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) semalam di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan selepas majlis penyerahan sijil penghargaan kepada tiga anggota polis bantuan syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Khamis.
Sijil penghargaan disampaikan kepada Zaidi Salleh, 52 tahun, Mohamad Fitri Abu Hasan dan Megat Taufik Megat Kamaruddin, 29 tahun, yang berkhidmat sebagai anggota polis bantuan untuk syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) di atas keberanian mereka menyelamatkan wanita tersebut.
Menurut Thaiveegan, tindakan ketiga-tiga anggota polis terbabit wajar dipuji dan dicontohi oleh pihak lain.
"Keberanian mereka sangat dipuji dan saya harap mereka dapat menjadi perangsang kepada seluruh pasukan untuk memberi khidmat yang lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, Thaiveegan mengingatkan orang ramai supaya berfikiran rasional dan tidak mengambil tindakan melulu sehingga menyusahkan pihak lain.
Katanya, berdasarkan rekod yang diterima, sebanyak 44 kes terjun jambatan dilaporkan di Jambatan Pulau Pinang sejak 2011, manakala empat kes direkodkan di jambatan kedua atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) sejak empat tahun lalu.
Mengulas lanjut, Thaiveegan berkata wanita berusia 28 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil selepas dirawat di Hospital Sungai Bakap (HSB).
#Datuk A Thaiveegan #jambatan #Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah #Megat Taufik Megat Kamaruddin #Mohamad Fitri Abu Hasan #polis #terjun #wanita #Zaidi Salleh
;