Polis buka kertas siasatan kes video tular layanan pemilik penginapan di Taiping

Abd Razak Mohd Ali
Mei 10, 2022 12:10 MYT
Video dipercayai dirakam sepasang suami isteri yang tidak berpuas hati dengan layanan diterima ketika menyewa tempat penginapan terbabit. -Video tular
TAIPING: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung rakaman video ketidakpuasan hati dua pelanggan terhadap layanan pemilik sebuah penginapan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penularan video berdurasi 2.56 minit itu di laman media sosial TikTok, pada Sabtu.
Menurutnya, susulan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan sedang dijalankan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan elak menggunakan platform media sosial sehingga boleh mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.
Terdahulu tular di media sosial sebuah video dipercayai dirakam sepasang suami isteri yang tidak berpuas hati dengan layanan diterima ketika menyewa tempat penginapan terbabit yang terletak di kawasan Taman Tasik Taiping.
#Osman Mamat #tidak berpuas hati dengan layanan diterima #pemilik tempat penginapan #polis buka kertas siasatan
;