Polis buka kertas siasatan kes video dikaitkan dengan menteri
Bernama
Jun 13, 2019 17:17 MYT
Jun 13, 2019 17:17 MYT
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Menurutnya, polis setakat ini menerima satu laporan berhubung kes video yang tular di media sosial itu.
"Tindakan akan diambil sebagai mana laporan polis dibuat bagi apa jua isu. Kita jalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini.
Abdul Hamid berkata polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ditanya sama ada individu yang terlibat dalam video boleh dikenakan tindakan, Abdul Hamid berkata: "Dalam proses siasatan (individu berkenaan) boleh dipanggil, boleh tidak dipanggil. Kita panggil mana yang berkenaan. Kes masih dalam siasatan."
Abdul Hamid juga berkata orang yang mengedar video berkenaan boleh diambil tindakan.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam video lucah. - BERNAMA
#Datuk Seri Abdul Hamid Bador
#Ketua Polis Negara
#Polis buka kertas siasatan kes video dikaitkan dengan menteri