Polis buka kertas siasatan kes resit tertera perkataan hina Islam

Bernama
September 14, 2024 23:30 MYT
Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar resit pembelian makanan segera yang tertera perkataan menghina Islam di sebuah restoran makanan segera di Taman Inderawasih, Perai, semalam. - Foto Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar resit pembelian makanan segera yang tertera perkataan menghina Islam di sebuah restoran makanan segera di Taman Inderawasih, Perai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Pada 8.30 pagi tadi, dikesan satu tangkap layar yang dimuat naik di laman sosial X memaparkan gambar resit pembelian makanan segera tertera tulisan menghina agama Islam disyaki berlaku di daerah SPT.
"Pihak polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pekerja restoran makanan segera itu pada 11.48 malam semalam," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata pihak polis telah menjalankan siasatan awal terhadap maklumat individu yang membuat pesanan berkenaan dan individu terbabit menafikan ada membuat pesanan itu.
"Individu itu juga mengesyaki butir-butir peribadi dan alamatnya disalah guna oleh individu lain, pemeriksaan juga mendapati laman web restoran makanan segera berkenaan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan pengguna untuk membuat pesanan," katanya sambil meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan.
-- BERNAMA
#polis #buka kertas siasatan #resit tertera perkataan hina Islam #Taman Inderawasih
;