Polis buka kertas siasatan kes bunuh kucing di Besut
Bernama
Mac 7, 2022 09:15 MYT
Mac 7, 2022 09:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Polis membuka kertas siasatan susulan penemuan kira-kira 20 ekor kucing jalanan yang mati bergelimpangan dipercayai akibat perbuatan khianat di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang di Besut, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Mohammad berkata pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada seorang individu yang telah menerima video melalui Whatsapp tentang kejadian kematian kucing terbabit di kawasan sekitar pantai itu, pada kira-kira 10 pagi semalam.
Katanya siasatan awal mendapati bangkai kucing-kucing berkenaan ditemukan oleh seorang lelaki yang pada mulanya terlihat beberapa ekor kucing mati bergelimpangan di atas tanah sekitar pantai tersebut pada kira-kira 8.30 pagi, Ahad.
"Sebanyak 15 ekor kucing telah mati manakala dua ekor kucing masih hidup namun dalam keadaan kesakitan. Dua ekor kucing mati berdekatan persisiran pantai, manakala 13 ekor kucing lagi mati di atas tanah berdekatan pokok-pokok.
"Terdapat kesan lebam biru pada perut kucing, darah pada mulut dan hidung serta ada yang terburai perut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rosak kesemua bangkai kucing berkenaan kemudiannya telah ditanam oleh lelaki tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Khianat ke atas Binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu katanya pihak Penguatkuasaan dan Teknikal dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Besut dan Kuala Terengganu telah hadir ke tempat kejadian dan mengeluarkan semula kucing yang telah ditanam itu untuk mengambil sampel bagi tujuan analisis.
Semalam, video penemuan bangkai kucing itu yang dikongsi oleh kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Badrul Hafeezy Ali, 35, menjadi tular di laman Facebook dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kejadian itu.
-- BERNAMA