Polis buka kertas siasatan kematian kakitangan MAHB

Afiezy Azaman
Mac 20, 2019 07:44 MYT
Keadaan kereta dipandu Muhamad Ruzaimi Iskandar yang dirempuh sebuah pesawat swasta di LTSAS, Subang. - Foto Sinar Harian
Polis Selangor membuka kertas siasatan berhubung kematian kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, yang terlibat kemalangan di lapangan terbang pada awal pagi Isnin.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata kepada Astro AWANI, siasatan kes dibuat sejurus mangsa dilaporkan meninggal dunia pada petang Selasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.
BACA: Kakitangan Malaysia Airports parah kemalangan di landasan meninggal dunia
Susulan itu, polis memanggil semua pihak yang terbabit untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Mohd Ruzaimi Iskandar yang parah, disahkan meninggal dunia jam 6.45 petang Selasa, ketika menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
BACA: Kakitangan Malaysia Airports parah kemalangan dengan pesawat persendirian
Dalam kejadian jam 3.20 pagi Isnin, kereta Unit Kejuruteraan MAHB dipandu Muhamad Ruzaimi Iskandar dirempuh sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.
Pesawat itu dipercayai hilang kawalan ketika mahu mendarat di LTSAS lalu merempuh bahagian hadapan cermin dan bumbung kereta.
BACA: Jenazah petugas MAHB parah kemalangan selamat dikebumikan
Penumpang dan anak kapal terbabit dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, bagaimanapun Mohd Ruzaimi Iskandar yang parah dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan.
Mangsa meninggalkan isteri, Nor Azawiah Md Usuf, dan empat anak berusia antara satu dan 13 tahun.
#Fadzil Ahmat #Jabatan Siasatan Jenayah #jenayah #JSJ Selangor #kemalangan #kematian tanpa niat #kereta #kertas siasatan #LTSAS Subang #MAHB #mangsa #meninggal dunia #pesawat #polis #rempuh #siasatan
;