Polis buka kertas siasatan kejadian tiga maut dalam kebakaran di Kampung Gita
Bernama
November 14, 2022 04:40 MYT
November 14, 2022 04:40 MYT
KUCHING: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Gita di sini, yang mengorbankan tiga ahli keluarga termasuk bekas Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung kebakaran itu dan siasatan dijalankan terhadap kes yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
"Polis mengesahkan tiga mangsa maut di tempat kejadian iaitu seorang lelaki dan anak perempuan serta cucunya," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datuk Khirudin Drahman ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menghantar Unit Anjing Pengesan bagi membantu siasatan di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa yang maut dikenali Affendi @ Pandi Keli, 69, anaknya Aneeqa, 35, dan cucunya Nor Hasyidah Ajis, 22 dan bukannya anak saudara seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Kesemua mangsa ditemukan terperangkap di tingkat atas rumah dipercayai lemas akibat asap tebal.
-- BERNAMA