Polis buka kertas siasatan 'Himpunan Selamatkan Malaysia'

Sinar Harian
September 12, 2023 19:11 MYT
Allaudeen berkata, adalah penting untuk pihak polis dimaklumkan mengenai perancangan perhimpunan itu lebih awal bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menerima enam laporan berhubung penganjuran 'Himpunan Selamatkan Malaysia' yang akan berlangsung di hadapan sebuah pusat beli belah, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.
"Kita sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Setakat ini kita akan memanggil Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Gombak Setia, Hilman Idham ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi esok (Rabu) untuk dirakam keterangan berhubung penganjuran perhimpunan ini.

"Ia susulan laporan yang dibuat, pihak polis masih belum menerima sebarang notis pemakluman mengenai perhimpunan yang akan berlangsung itu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Allaudeen berkata, adalah penting untuk pihak polis dimaklumkan mengenai perancangan perhimpunan itu lebih awal bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Berdasarkan undang-undang dan perlembagaan, penganjuran perhimpunan harus memberikan notis pemakluman kepada pihak polis selain mendapatkan kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan yang ingin diadakan.
Dalam himpunan ini, penganjur harus memohon kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pemilik kawasan lokasi perhimpunan diadakan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan berkata, proses pemakluman mengenai penganjuran sebarang perhimpunan perlu memaklumkan pihak polis serta mendapatkan kebenaran yang berkemungkinan mengambil masa antara empat hingga lima hari.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Himpunan Selamatkan Malaysia #laporan polis #Allaudeen Abdul Majid #Sogo
;