Polis buka dua kertas siasatan kes dera amah

Astro Awani
Mei 2, 2017 15:58 MYT
Pihak polis sudah mendapat perintah reman selama tujuh hari bermula Isnin untuk dua suspek tersebut bagi membantu siasatan. - Gambar fail
Polis membuka dua kertas siasatan susulan penahanan dua beranak yang didakwa mendera tiga pembantu rumah warga Indonesia di Taman Saujana Bukit Katil, Melaka, Sabtu lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, wanita berusia lingkungan 50-an dan anak lelakinya lingkungan 20-an itu yang merupakan majikan kepada pembantu rumah terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Beliau berkata, pihak polis sudah mendapat perintah reman selama tujuh hari bermula Isnin untuk dua suspek tersebut bagi membantu siasatan.
"Ketiga-tiga pembantu rumah itu kini berada dalam perintah perlindungan sementara (IPO) atas perintah mahkamah dan ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita (PPW), Kempas, Johor selama 21 hari bermula semalam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program lawatan ke Hospital Melaka sempena Hari Polis ke-210 pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Melaka, Dr Zulkarnain Mohd Rawi dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri, Datin Dr Siti Alida John Abdullah.
Mengulas lanjut katanya, ketiga-tiga pembantu rumah itu pula kini berada di bawah perlindungan sementara (IPO) atas perintah Mahkamah dan di tempatkan di Rumah Perlindungan Wanita, Kempas, Johor selama 21 hari bermula Isnin.
Ade Hermayani, 21; Siami, 22, dan Fitriatul Hasanah, 29, dilapor melarikan diri dari rumah majikan mereka selepas mendakwa tidak tahan dipukul dengan batang pengelap lantai, dicubit dan ditendang hingga cedera.
Susulan laporan, polis menahan kedua-dua suspek di sebuah restoran di Taman Saujana Bukit Katil, kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu.
#amah #dera #dera amah #kes dera #pembantu rumah #Taman Saujana Bukit Katil
;