Polis buka 54 kertas siasatan berkaitan penipuan Snuppee Mall

Bernama
Februari 2, 2024 21:52 MYT
Rohaimi berkata siasatan awal mendapati syarikat iu mempromosikan platformnya untuk menjana pendapatan tambahan secara dalam talian. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman membuka 54 kertas siasatan terhadap syarikat Snuppee yang didakwa menipu pengguna membabitkan kerugian bernilai lebih RM1 juta.
Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK, Datuk Rohaimi Md Isa berkata siasatan awal mendapati syarikat iu mempromosikan platformnya untuk menjana pendapatan tambahan secara dalam talian.
"Individu yang berminat dikehendaki mendaftar dan membeli pakej ditawarkan serendah RM50 hingga RM13,700 dan melakukan tugasan yang diberikan.
"Nilai komisen yang diterima adalah berbeza berdasarkan pakej yang disertai. Pada akhir bulan lalu, syarikat berkenaan dikesan menawarkan 'cashback' sebanyak 80 peratus bagi setiap penambahan wang ke dalam akaun Snuppee," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rohaimi berkata, tertarik dengan tawaran diberikan, ramai pengguna membuat pindahan wang kepada syarikat tersebut, namun pada 29 Jan lalu syarikat tersebut mengeluarkan notis mendakwa telah muflis dan menutup semua operasi mereka.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa skim penipuan itui untuk membuat laporan di balai polis berhampiran.
"PDRM komited dalam memastikan siasatan terhadap skim penipuan ini dilaksanakan dengan sewajarnya selaras peruntukan undang-undang agar penjenayah yang terlibat dapat ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dengan segera," katanya.
-- BERNAMA
#Snuppee #dalam talian #pindahan wang #skim penipuan
;