Polis buka 15 kertas siasatan penipuan pelaburan saham didalangi 'Datuk'

Bernama
Februari 23, 2025 18:19 MYT
Ramli (foto) berkata dalam tempoh 19 Jan hingga Khamis lepas, pihaknya menerima 32 laporan membabitkan kes berkenaan yang melibatkan sebuah syarikat dengan kerugian lebih RM1.3 juta. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis membuka 15 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian RM638,205 berhubung kes penipuan program pelaburan saham yang didalangi individu bergelar "Datuk".

Ringkasan AI
  • Polis membuka 15 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian RM638,205 berhubung kes penipuan program pelaburan saham yang didalangi individu bergelar "Datuk". Dalam tempoh 19 Jan hingga Khamis lepas, pihak polis menerima 32 laporan dengan kerugian lebih RM1.3 juta.
  • Siasatan awal mendapati syarikat terbabit ditubuhkan pada 24 Feb 2022 dan memiliki dua pengarah, termasuk "Datuk" yang dilantik pada 10 Mei 2022. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu.
  • Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat tersebut mempunyai modal berbayar RM6.9 juta dan 179 pemegang saham. Semalam, 65 individu membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai penipuan pelaburan saham yang melibatkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam tempoh 19 Jan hingga Khamis lepas, pihaknya menerima 32 laporan membabitkan kes berkenaan yang melibatkan sebuah syarikat dengan kerugian lebih RM1.3 juta.
Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat terbabit ditubuhkan pada 24 Feb 2022 dan memiliki dua pengarah syarikat termasuk "Datuk" berkenaan yang dilantik sebagai pengarah syarikat pada 10 Mei 2022.
"Semua kertas siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ramli berkata semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat terbabit mempunyai modal berbayar RM6.9 juta dan 179 pemegang saham membabitkan 175 individu dan empat syarikat.
"Daripada 15 kertas siasatan dibuka,11 mangsanya berdaftar sebagai pemegang saham," katanya.
Semalam, media melaporkan 65 individu tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kerana ditipu individu bergelar "Datuk" berhubung pelaburan saham membabitkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata syarikat serta individu terbabit disyaki menawarkan program pelaburan saham biasa kepada pelabur awam tanpa sebarang prospektus dikeluarkan oleh pihak syarikat.
"Syarikat individu berpengaruh itu dikatakan menawarkan program pelaburan biasa (pre-IPO) yang disifatkan meragukan dan tidak melakukan sebarang aktiviti pelaburan seperti dimaklumkan kepada mangsa," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Siasatan Jenayah Komersial #Ramli Mohamed Yoosuf #individu bergelar Datuk #pelaburan saham
;