Polis buat pengesahan sijil nikah anak menteri didakwa rogol

Umavathi Ramayah
Januari 10, 2025 18:30 MYT
Sumber memberitahu, polis juga sedang menunggu laporan kesihatan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut anak menteri terbabit.
KUALA LUMPUR: Polis sedang membuat pengesahan salinan asal sijil perkahwinan yang dikaitkan dengan dakwaan kes rogol melibatkan anak seorang menteri, seperti yang tular baru-baru ini.
Sumber memaklumkan bahawa pengesahan tersebut perlu dilakukan bagi memperkukuh siasatan berhubung dakwaan bahawa anak menteri terbabit telah menikahi wanita yang dilaporkan hamil pada September lalu.
"Buat masa ini, kita sedang menunggu pengesahan sijil perkahwinan mereka bagi memperkukuhkan siasatan yang dibuat,' katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Jumaat.
Selain itu, kata sumber, polis juga sedang menunggu laporan kesihatan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut anak menteri terbabit.
Terdahulu tular dalam laman sosial aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungannya.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Pada masa ini siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
#anak menteri #rogol #edisi siasat #Polis Diraja Malaysia #terkini
;