Polis bongkar sindiket pemalsuan dokumen didalangi etnik Rohingya

Bernama
Mac 1, 2024 17:25 MYT
Mohamed Usuf berkata, polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk membuat kad dan dokumen palsu antaranya pencetak, komputer riba, alat laminat, logo hologram palsu dan telefon bimbit. - Bernama
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket yang menjalankan kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen terutama kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selepas menahan 14 individu termasuk 11 etnik Rohingya, baru-baru ini.
Sindiket yang didalangi seorang lelaki etnik Rohingya berumur 63 tahun yang turut menyediakan kemudahan kepada warga asing, dipercayai mampu mengaut ratusan ribu ringgit setiap bulan hasil menjalankan kegiatan jenayah terbabit.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Pulau Pinang melancarkan satu operasi Op Pintas Mega bermula 14 Feb lepas sebelum menjalankan 16 siri serbuan bagi membongkar kegiatan itu.
"Dalam siri serbuan di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara serta Arau, Perlis, kami berjaya menahan 11 warga Myanmar termasuk tiga wanita, selain dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang kesemuanya berumur 18 hingga 63 tahun.
"Serbuan di rumah dalang utama sindiket itu di Bukit Mertajam telah membawa kepada pemeriksaan di sebuah rumah flat di Butterworth yang disewa dan didapati dijadikan tempat mereka menjalankan kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohamed Usuf berkata dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk membuat kad dan dokumen palsu antaranya pencetak, komputer riba, alat laminat, logo hologram palsu dan telefon bimbit.
Katanya, polis turut merampas 20 keping kad UNHCR, 13 pasport Myanmar, lapan pas lawatan kerja sementara, enam kad kesatuan republik Myanmar, empat lesen memandu Malaysia dan dua kad Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang kesemuanya palsu.
"Susulan penahanan 14 individu itu, kami turut merampas 180 salinan sijil milikan kenderaan, 37 keping sijil milikan kenderaan, lapan motosikal dan tiga kereta," katanya.
Beliau berkata dalang utama itu dipercayai tinggal di negara ini sejak 10 tahun lepas dan mengaku telah membuat lebih 700 kad UNHCR palsu yang dijual kepada etnik Rohingya yang masuk ke Malaysia dengan harga RM1,000 setiap satu.
Menurutnya, sindiket itu mampu mengaut hingga RM700,000 dalam tempoh setahun untuk menjual kad UNHCR sahaja dan mereka turut menjual pelbagai kad serta dokumen palsu dengan bayaran RM150 hingga RM1,000.
Mohamed Usuf berkata siasatan awal mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan terbabit di negeri-negeri utara dari Perlis sehingga Pulau Pinang sejak dua tahun lepas.
Beliau berkata lelaki dalang utama itu merekrut etnik Rohingya untuk dijadikan ejen menjual kad dan dokumen palsu menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp warga itu yang berada di negara ini.
"Siasatan mendapati dua lelaki tempatan berumur 56 dan 63 tahun yang ditahan itu pula memiliki kenderaan sebanyak 477 buah dan 247 buah yang didaftarkan dengan menggunakan nama mereka, manakala seorang daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan dadah.
''Kenderaan ini dipercayai telah dibeli dan dijual semula kepada warga asing dengan bayaran tertentu, sebagai contoh mereka beli motosikal dengan harga RM4,000 tetapi mereka jual kepada warga asing dengan harga RM5,000. Ini cara yang mereka gunakan untuk mengaut keuntungan, mereka juga didapati tidak bekerja," katanya.
Beliau berkata kesemua tangkapan itu ditahan selama 28 hari di bawah Peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bermula 15 Februari lepas untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Menurutnya, polis kini giat mengesan seorang lagi wanita Rohingya dikenali sebagai Sara Monghul Hussin berumur 50-an dengan alamat terakhir di Bukit Mertajam dekat sini, dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu.
-- BERNAMA
#sindiket #pemalsuan dokumen #warga asing #Rohingya #polis
;