Polis bongkar pusat judi online di banglo mewah

Astro Awani
Disember 21, 2018 08:35 MYT
Dalam operasi petang Khamis itu, polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan sindiket judi online itu, termasuk beberapa telefon bimbit, komputer dan modem. - Astro AWANI
Kegiatan sindiket perjudian atas talian yang berselindung di sebalik kawasan perumahan elit di Taman Equine, di sini, sejak sebulan lalu terbongkar apabila markasnya diserbu polis pada Khamis.
Dalam serbuan jam 4.10 petang itu, 32 individu termasuk tiga wanita warga China berusia antara 20 dan 52 tahun yang bekerja dengan sindiket sebagai pengendali pertaruhan perjudian online turut ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, selain dijadikan pusat operasi perjudian online, banglo empat tingkat yang diserbu itu juga dijadikan hostel untuk kesemua tangkapan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket tersebut menjalankan aktiviti pertaruhan judi online yang menyasarkan pemain judi dari luar negara, terutamanya dari Hong Kong, China dan Taiwan.
Hasil semakan mendapati sindiket perjudian online ini telah menerima pertaruhan berjumlah RM15 juta dalam tempoh sebulan operasi di sini.
Polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu termasuk beberapa telefon bimbit, 16 set komputer dan tiga modem.
Selain itu, Fadzil memaklumkan, serbuan itu turut membawa kepada penemuan dua lelaki warga China berusia lingkungan 20-an yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
"Kita menjumpai kedua-dua mangsa dengan kesan dera di tangan dan muka. Mereka juga didapati dirantai dan dikurung dalam sebuah bilik di tingkat empat banglo tersebut.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mereka ditawarkan pekerjaan di negara ini namun ditipu dan dipaksa bekerja sebagai operator perjudian online oleh sindiket," kata Fadzil.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesan ketua sindiket, pemilik banglo dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam operasi perjudian online ini.
Siasatan dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
#banglo #China #dera #Hong Kong #jenayah #judi #mangsa #online #operasi #pemerdagangan manusia #pertaruhan #polis #siasatan #sindiket #Taiwan #warga china
;