Polis bongkar penjualan sijil vaksin dipercayai palsu
Astro Awani
Januari 10, 2022 12:31 MYT
Januari 10, 2022 12:31 MYT
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu yang didalangi seorang doktor di klinik swasta.
Ia susulan penahanan seorang doktor yang berusia 51 tahun di Marang pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kegiatan itu dipercayai telah dilakukan sejak September tahun lalu dengan mengenakan caj bayaran antara RM400 hingga RM600.
Katanya, menerusi penahanan itu pihak polis juga telah merampas beberapa peralatan termasuk komputer riba, telefon bimbit serta dokumen-dokumen berkaitan.
“Setakat ini kita percaya terdapat lebih pada 1,900 individu yang terlibat mendapatkan sijil vaksin palsu ini dan ianya bergantung pada semakan nanti… mungkin setengahnya asli, setengah (lagi) tidak.
“Kita akan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menilai ataupun membuat pemeriksaan MySejahtera masing-masing yang akan kita kesan melalui dokumen (yang) kita rampas,” kata Rohaimi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Isnin.
Rohaimi berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati suspek menjalankan urusan secara dalam talian.
Jelasnya, siasatan juga mengesan terdapat pelanggan yang beralamat di Kedah dan Kuala Lumpur.
Kata Rohaimi, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan.
Menurut Rohaimi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama JKNT akan terus menjalankan operasi bagi mengesan kegiatan berkenaan.