Polis bongkar makmal proses dadah, tahan dua individu

Bernama
September 28, 2020 12:19 MYT
Lee (kanan) menunjukkan dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas bernilai RM37,752 ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Pois Daerah Seberang Perai Selatan hari ini. -- fotoBERNAMA
NIBONG TEBAL: Polis Pulau Pinang membongkar makmal memproses dadah yang mencampur dan membungkus semula bahan itu dalam minuman pelbagai perisa pek tiga dalam satu selepas menahan dua rakan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM37,752 dalam serbuan di sebuah rumah di Nibong Tebal, di sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat pada 8.30 malam dan menahan lelaki berumur 35 tahun serta rakan wanitanya berumur 29 tahun.
"Semasa serbuan itu, dua individu berkenaan berada di dalam bilik dan pemeriksaan polis di dalam rumah berkenaan menemukan 507 gram (g) dadah jenis MDMA, 54 g (ketamin), 16.03 g (syabu), 6.58 g pil yaba dan pelbagai cecair perisa serta peralatan untuk memproses dadah.
"Semua dadah yang dirampas dalam serbuan di rumah yang disewa dua rakan jenayah itu bernilai RM37,752 dan siasatan awal mendapati mereka mempunyai kepakaran untuk memasak serta memproses dadah sebelum membungkus semula di dalam pek minuman terutama minuman jus tiga dalam satu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak lapan bulan lepas dan semua bungkusan minuman yang mengandungi dadah tersebut dijual di sekitar negeri ini terutama di pusat-pusat hiburan.
Lee berkata bungkusan minuman itu akan dibancuh sendiri oleh pembeli ketika sedang berhibur di pusat hiburan malah tiada sesiapa yang akan mengesyaki ia mengandungi dadah kerana menggunakan pek asal minuman tersebut seperti yang dijual di pasaran.
"Siasatan kami mendapati mereka menjalankan kegiatan itu berdua sahaja kerana masing-masing mempunyai kepakaran untuk memprosesnya sebelum menjual kepada pembeli terdiri daripada pelanggan tetap di pusat hiburan, polis masih siasat berapa harga setiap pek minuman mengandungi dadah berkenaan," katanya.
Difahamkan, setiap pek minuman mengandungi dadah yang boleh mengkhayalkan mereka yang meminumnya itu dijual dengan harga RM100 hingga RM200 berdasarkan jenis dadah yang terdapat di dalam pek berkenaan.
Beliau berkata lelaki yang bekerja sebagai pekerja membaiki pendingin hawa dan rakannya yang tidak bekerja itu positif dadah serta mereka juga mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
"Pasangan itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1,983 penagih," katanya.
-- BERNAMA
#polis #Seberang Perai #jenayah #Dadah #siasatan #Syabu #serbuan #Nibong Tebal #rumah #minuman pelbagai perisa #Makmal #Lee Chong Chern #reman #rampasan
;