Polis bongkar makmal memproses dadah, rampas senjata api, dadah bernilai RM120 juta
Bernama
Januari 19, 2025 14:50 MYT
Januari 19, 2025 14:50 MYT
SHAH ALAM: Polis berjaya membongkar kegiatan sebuah makmal pemprosesan dadah yang dipercayai didalangi sindiket antarabangsa, menerusi tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, tiga hari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan, 10 lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 20 hingga 50 tahun dalam serbuan itu, dan merampas pelbagai jenis dadah serta senjata api yang semuanya dianggarkan bernilai RM120 juta.
Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah gudang di Puncak Alam dekat sini kira-kira 2.20 petang, polis menahan lapan suspek lelaki warganegara asing, yang dipercayai sedang mengendalikan kerja-kerja pemprosesan dadah untuk diedar di dalam dan luar negara.
"Pemeriksaan dalam premis tersebut membawa kepada penemuan dadah jenis Erimin 5 dianggarkan 306 kilogram (kg), ekstasi (183.7 kg), peralatan memproses dadah dan pelbagai jenis bahan kimia yang kami percaya diperolehi daripada negara jiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.
Khaw berkata dalam serbuan kedua pada kira-kira 2.30 petang di sebuah rumah di Puncak Alam pula, polis berjaya menahan dua lagi lelaki warga asing yang dipercayai berperanan sebagai koordinator bagi sindiket itu bersama seorang wanita warga Thailand, yang peranannya dalam kegiatan itu masih dalam siasatan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut menemukan lima bungkusan lutsinar yang masing-masing berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 533 gram dan 70 keping bungkusan tablet disyaki dadah jenis erimin 5 kira-kira 203 gram.
"Susulan daripada serbuan itu, kira-kira 5.30 petang, dengan dipandu arah tiga suspek dari serbuan kedua, pemeriksaan telah dibuat di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai stor penyimpanan hasil pemprosesan dadah tersebut.
"Hasil pemeriksaaan membawa kepada penemuan dadah jenis ekstasi kira-kira 310 kg, kokain (21.1 kg ), syabu (5.2 kg), heroin (3.6 kg), heroin base (1.8 kg), ganja (0.5 kg), dan ketamin (0.4 kg), selain 15 pucuk pistol, satu laras Sub Machine Gun dan 900 butir peluru.
Khaw berkata dalam serbuan ketiga, kira-kira 2.40 petang polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga dipercayai berperanan sebagai koordinator di sebuah rumah di Seri Kembangan, dekat sini.
Beliau berkata semakan mendapati enam suspek lelaki mempunyai rekod jenayah bagi kes berkaitan dadah, bunuh, jenayah kekerasan serta penipuan, dan tiga suspek didapati positif dadah jenis ketamin.
"Polis juga percaya sindiket ini mula aktif sejak penghujung tahun lepas. Barang rampasan lain dalam kes ini antaranya melibatkan aset seperti beberapa kenderaan, forklift dan wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta," katanya.
Khaw berkata semua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 Jan lepas dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
-- BERNAMA
#rampasan dadah
#sindiket antarabangsa
#abatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman
#Khaw Kok Chin
#terkini