Polis Bintulu ambil langkah ubah lokasi sekatan di laluan tikus
Astro Awani
April 17, 2020 17:56 MYT
April 17, 2020 17:56 MYT
Sekatan jalan raya (SJR) di Bintulu diperketat bermula Rabu bagi memastikan tiada yang berjaya lolos melalui laluan tikus menuju ke bandar itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitendan Zulkipli Suhaili, beliau telah mengarahkan anggotanya untuk menjalankan operasi dengan mengubah lokasi sekatan.
Tegasnya, pengguna jalan raya yang keluar tanpa alasan munasabah dan kukuh akan dikenakan tindakan tegas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-3 ini.
“Kawasan Taman Jasmin, yang mana pengguna boleh menggunakan jalan tersebut untuk lari daripada sekatan jalan raya
“Oleh yang demikian, dalam fasa ke-3 ini kita telah ubah sekatan jalan raya kita untuk menyekat jalan-jalan ‘tikus’ ini supaya pengguna jalan raya yang melalui SJR khususnya di Bintulu ini,” katanya.
Jelas beliau, setiap pemandu kenderaan akan disoal terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki sesuatu kawasan bagi mengetahui tujuan sebenar mereka.
Ujarnya lagi, selain untuk mengelakkan kesesakan, sekatan ini juga dilakukan bagi memastikan orang ramai keluar hanya dengan tujuan penting.
“Di bawah Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit, seseorang itu dibenarkan untuk keluar dalam lingkungan 10 kilometer radius dari kawasan kediaman,” katanya kepada Astro Awani
Tambah Zulkipli lagi, setakat Khamis pihaknya telah menangkap 21 orang yang berdegil untuk mematuhi perintah PKP.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Bintulu
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Sarawak
#Sekatan Jalan Raya
#SJR
#Supritendan Zulkipli Suhaili