Polis berpangkat koperal ditahan kerana menyamun guna batang besi
Ruzaini Zulkepli
Februari 28, 2018 21:28 MYT
Februari 28, 2018 21:28 MYT
Seorang anggota polis berpangkat koperal dicekup selepas didapati terlibat secara langsung dengan kejadian rompakan bersenjata paip besi sehingga menyebabkan kerugian RM1,200 di sebuah premis alat ganti tayar di Jalan Masak, Keningau, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, suspek lelaki berusia 36 tahun itu masuk ke bahagian kaunter pembayaran premis terbabit lalu menolak cermin kaunter dengan kuat.
Suspek kemudian mengeluarkan sebatang paip besi berukuran 36 sentimeter lalu menghayunkannya ke arah penjaga kaunter pembayaran berusia 32 tahun sebelum mengarahkan lelaki itu menyerahkan wang tunai mesin kira-kira di lokasi tersebut.
Akibat ketakutan, mangsa menyerahkan wang tunai sejumlah RM1,200 dan suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga FLX.
Menurut sumber, mangsa membuat laporan polis pada jam 11.37 pagi dan sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.
"Hasil daripada siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu, polis berjaya mengesan nombor pendaftaran kereta dinaiki oleh suspek.
"Kira-kira sejam kemudian, sepasukan anggota polis berjaya mengesan suspek yang berada dalam kereta di kawasan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Bulusilou, dekat sini.
"Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran polis kemudiannya bertindak memecut kenderaan menuju ke Jalan Kimanis sebelum dipintas dan ditangkap berhampiran kawasan sebuah kilang," katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek berjaya menemukan beberapa barangan seperti wang tunai RM1,003 yang disorokkan dalam balutan kain dan sebatang paip besi yang dipercayai digunakan ketika menjalankan kegiatan tersebut.
"Berdasarkan soal siasat awal terhadap suspek, lelaki itu mengaku terlibat dalam kes terbabit atas alasan terdesak wang dan pengaruh dadah jenis syabu. Suspek dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi mengesahkan kejadian itu.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan bersenjata," katanya.
#anggota polis
#batang besi
#CCTV
#Datuk Razarudin Husain
#Jalan Masak
#Keningau
#Koperal
#premis alat ganti tayar
#Proton Saga FLX
#samun
#Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah