Polis berpangkat Inspektor direman bantu siasatan kes rogol dua wanita Mongolia

Hilmi Malik
April 12, 2020 15:09 MYT
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal (gambar) berkata, hasil operasi pihak polis telah berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing tersebut. - Foto Astro AWANI
Polis menahan seorang anggota polis berpangkat Inspektor berusia 30 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan rogol oleh dua wanita warga Mongolia di sebuah hotel pada Sabtu pada jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil operasi pihak polis telah berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing tersebut serta melakukan tangkapan terhadap seorang anggota polis yang bertugas di Petaling Jaya.
"Kedua-dua mangsa berusia 20 dan 37 tahun dan tidak mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Melayu selain terpaksa menggunakan bantuan daripada sahabat mangsa untuk memberi keterangan.
"Kedua-dua mangsa kini di bawah jagaan pihak polis di bawah unit D11 (Jenayah Seksual) dan dibawa ke pihak KKM untuk pemeriksaan kesihatan," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya di Mutiara Damansara pada Ahad.
Terdahulu, kedua-dua mangsa ditahan di sekatan jalan raya di sekitar Petaling Jaya sebelum dibawa ke lokasi kejadian yang membawa kepada hasil operasi pihak polis.
Anggota polis terbabit yang ditahan di lokasi berasingan direman selama lima hari bermula Ahad dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
"Saya zahirkan rasa kecewa saya tapi bagaimanapun kita akan tetap teruskan apa yang kita buat selama ini dan tindakan sekeras-kerasnya akan diambil berlandaskan undang-undang sedia ada akan kita teruskan terhadap pegawai ini," katanya lagi.
Mengulas mengenai kedua-dua mangsa berkenaan, Nik Ezanee berkata mangsa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Kita percaya mangsa terlibat dengan aktiviti berunsur maksiat bagaimanapun kita akan tetap teruskan siasatan kerana kedua-dua wanita warga asing ini adalah mangsa sebelum kita teruskan siasatan lain," katanya.
#inspektor ditahan #kesihatan #KKM #Petaling Jaya #polis #rogol #siasatan #suspek #undang-undang #warga asing
;