Polis berkas suspek utama kes bunuh Shaharuddin

Astro Awani
Julai 2, 2014 00:33 MYT
Shaharuddin Ibrahim - Gambar Fail
Selepas lebih setahun diburu pihak berkuasa, suspek utama kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, di Putrajaya, tahun lalu, akhirnya diberkas polis.
Suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan bersama tiga lagi individu lain dalam dua serbuan berasingan di Ampang dan Batu Caves, oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berdasarkan maklumat dan pemantauan yang dijalankan jam 5 pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi 26 April tahun lalu, Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.
Shaharuddin cedera di leher dan kepala setelah terkena tiga das tembakan sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9.20 pagi di Hospital Putrajaya.
Pada September tahun lepas, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa memaklumkan, polis telah mengenal pasti dan memperolehi gambar suspek utama yang menembak mati Shaharuddin.
Tambah Khairi, pihaknya yakin mendapat identiti lengkap mengenai suspek utama tersebut bagi memudahkan polis menjejakinya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan Allahyarham Shaharuddin dinaikkan gred daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B kepada JUSA A.
Najib berkata, dengan kenaikan gred tersebut, bererti faedah gratuiti dan pencen tahunan yang akan diterima balu Allahyarham juga akan bertambah.
#bunuh #kastam #operasi #polis
;