Polis berkas lelaki cekik, ugut ibu sendiri
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 13, 2019 11:05 MYT
Jun 13, 2019 11:05 MYT
Padah mencekik leher dan mengugut ibu kandung sendiri, seorang pemuda dari Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang ditahan polis.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas mangsa yang berusia 60 tahun membuat laporan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi Rabu, suspek yang berada dibawah pengaruh dadah telah mengamuk dan pulang ke rumah dalam keadaan marah.
Mangsa sebelum itu melepaskan motosikal yang dinaikinya ketika itu sehingga hampir melanggar ibunya.
Suspek sebelum itu, mencekik leher ibunya dan mangsa kemudian bertindak menggigit tangan suspek dan berjaya meloloskan diri sebelum membuat laporan polis.
Semasa kejadian mangsa berada dirumah bersama anak lelaki bongsunya.
Siasatan polis mendapati kejadian itu bukan kali pertama berlaku malah suspek kerap mengamuk di rumah berpunca daripada pengambilan dadah.
Mangsa cedera dibahagian punggung akibat pergelutan dengan suspek ketika mahu melepaskan diri.
Noorzainy berkata ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis “MOP” dan suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.