Polis berhak tahan individu gagal kemuka pengenalan diri - Timbalan KPN
Fareez Azman
Februari 17, 2021 20:06 MYT
Februari 17, 2021 20:06 MYT
KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak untuk menangkap reman mana-mana individu yang gagal mengemukakan pengenalan diri, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurut beliau, kegagalan mana-mana individu mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa diperiksa oleh polis adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990 dan boleh ditangkap tanpa waran dibawah peraturan yang sama.
Beliau berkata, individu terbabit juga boleh berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Acryl Sani menegaskan dakwaan yang dibuat oleh sebuah portal berita bahawa polis tidak berhak untuk menahan atau menangkap mana-mana individu yang gagal mengemukakan pengenalan diri adalah bertentangan dengan undang-undang.
"Terdapat kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita online mendakwa PDRM tidak berhak untuk menahan atau menangkap mana-mana individu yang gagal membawa atau mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.
"PDRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bercanggah dengan peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990,” kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan pada Rabu.
Dalam masa sama, PDRM, tegas beliau, mengingatkan orang ramai agar sentiasa membawa dokumen pengenalan diri sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 6 PPPN 1990.
#PDRM
#polis
#undang-undang
#Polis Diraja Malaysia
#Malaysia
#Timbalan Ketua Polis Negara
#PPPN
#Kenyataan
#pengenalan diri
#KUASA