Polis belum terima permohonan penganjuran debat Najib, Anwar

Sinar Harian
April 19, 2022 14:16 MYT
Amihizam berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur debat tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis belum menerima permohonan penganjuran Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei ini daripada penganjur.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur debat tersebut.
"Setakat ini tiada permohonan," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Debat yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) itu dijangka diadakan selama dua jam mulai jam 9 malam dan boleh disaksikan secara fizikal atau melalui saluran media.
Debat Perdana | Anwar Ibrahim-Najib Razak ditetapkan 12 Mei
Pada Ahad, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dalam sidang media bersama berkata, format debat itu merangkumi tiga bahagian.
Pertama, berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (SEB), sama ada ia perlu diselamatkan atau sebaliknya.
Kedua, berhubung masa depan Malaysia merangkumi aspek politik, urus tadbir dan hala tuju negara serta ketiga adalah sesi soal jawab.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#Anwar Ibrahim #Najib Razak #debat Najib Anwar #Sapura Energy #polis brickfields
;