Polis belum terima maklumat dari renjer hutan remaja bertapa di Gunung Ledang
Bernama
Januari 2, 2016 20:48 MYT
Januari 2, 2016 20:48 MYT
Polis belum menerima maklumat daripada renjer hutan mengenai seorang remaja lelaki yang dikatakan berhasrat untuk bertapa di Gunung Ledang.
Ketua Polis Daerah Ledang Supt Mohamad Salleh Abd Razak berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada renjer hutan sama ada remaja terbabit berada di Gunung Ledang atau sebaliknya.
"Setakat ini, tiada maklumat yang kita terima daripada renjer hutan Gunung Ledang mengenai individu yang mendaki atau bertapa di sana," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan remaja berusia 18 tahun yang dikenali sebagai 'Angah' atau nama sebenarnya Mohd Azhan Ibrahim dikatakan keluar dari rumahnya di Simpang Renggam pada 28 Dis lepas, dipercayai untuk bertapa di Gunung Ledang.
Ibu bapa remaja terbabit dilaporkan menyedari kehilangan Mohd Azhan apabila terjumpa nota tulisan tangan anaknya itu yang menyatakan hasrat untuk bertapa di gunung berkenaan dan meminta mereka agar tidak risau dengan keadaannya.
Sementara itu, Mohamad Salleh berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang juga tidak menerima laporan mengenai kehilangan remaja terbabit kecuali laporan dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Simpang Renggam.