Polis bekerjasama dengan penduduk kekang aktiviti penyeludupan dadah

Nur Fazlizai Ali
Januari 22, 2022 10:16 MYT
Rohaimi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di Marang pada Ahad. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan terus bekerjasama erat bersama penduduk setempat bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah melalui jalan laut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kerjasama itu penting bagi mengekang kegiatan berkenaan selepas mengesan modus operandi baharu sindiket penyeludupan dadah melalui perairan dan pesisir pantai di Terengganu.
Beliau tidak menolak kemungkinan perairan negeri itu dijadikan transit untuk membawa masuk dadah dari negara luar untuk dipasarkan ke negara ini.
Justeru itu Rohaimi meminta para penduduk menyalurkan maklumat segera kepada polis jika terdapat dan mengesan kegiatan yang mencurigakan di kawasan mereka.
"Semua Ketua Polis Daerah yang memiliki pesisiran pantai akan meningkatkan kerjasama ataupun memberi kefahaman kepada penduduk di sekitar kawasan pantai sekiranya ada terlihat atau terkesan aktiviti yang mencurigakan daripada luar iaitu terus berhubung dengan pihak kita.
"Ada juga cadangan setengah Ketua Polis Daerah untuk mengadakan pengcahayaan kerana kita faham kawasan pantai biasanya di kampung waktu malam begitu gelap tanpa lampu," katanya.
Rohaimi berkata lokasi yang gelap dan jauh daripada kediaman penduduk dipercayai antara faktor yang mendorong suspek melakukan kegiatan jenayah di kawasan terbabit.
Jelasnya pihaknya akan memanjangkan cadangan yang dilontarkan pegawainya kepada pihak berkuasa untuk memasang lampu di kawasan atau 'spot' disyaki berpotensi berlaku kegiatan jenayah.
Terdahulu polis Terengganu mengesan taktik baharu digunakan bagi menyeludup dadah menggunakan jalan laut ke dalam negara susulan rampasan 18.7 kilogram (kg) dadah yang dihanyutkan menggunakan pelampung ke kawasan pesisiran pantai di negeri itu.
BACA: Seludup dadah melalui laut, modus operandi baharu di Terengganu
Dadah jenis syabu bernilai RM674,244 itu ditemukan terdampar di tepi Pantai Rhu Kubur, Marang pada Ahad.
#Dadah #penyeludupan #sindiket #persisir pantai
;