Polis bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi membanteras jenayah
Astro Awani
Februari 2, 2015 07:53 MYT
Februari 2, 2015 07:53 MYT
Polis Terengganu memperhebatkan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi membanteras jenayah dalam kalangan pelajar termasuk gejala merempit di negeri itu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa, berkata selaras dengan hasrat itu pihaknya akan meningkatkan program kesedaran dan pencegahan menerusi pasukan pelawat serta pegawai perhubungan sekolah.
“Kami akan meningkatkan lagi kerjasama ini dan menjadikan aspek pencegahan jenayah sebagai keutamaan. Jabatan baru di PDRM ini akan lebih fokus kepada masalah yang berkaitan dengan pelajar,” kata beliau.
Selain ceramah, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan motosikal secara berkala bagi mempastikan kepatuhan pelajar terhadap spesifikasi yang ditetapkan.
Menurutnya, pihak polis telah turun padang ke 54 buah sekolah di negeri itu sejak bulan lalu bagi menyampaikan watikah pengawas menumpukan tumpuan terhadap membanteras kegiatan rempit dan pencegahan jenayah.
Jelasnya pihaknya akan melipat gandakan usaha bagi memastikan kegiatan rempit dikalangan pelajar sekolah dapat dibendung secara maksimum.
Dalam pada itu Pengarah JPNT Zakaria Hussin menyambut baik langkah yang dilakukan oleh pihak polis dalam usaha bagi menghindarkan elemen yang tidak sihat dikalangan pelajar di negeri itu.
“Kita akan perteguhkan secara sistematik, mengadakan perjumpaan dan perbincangan secara rasmi untuk membentangkan data untuk membolehkan kita tahu di mana harus beri penekanan lebih dari pihak pelajaran dan pihak polis,” kata beliau.
Statistik menunjukkan 133 pelajar ditahan pada tahun 2013, dan jumlah berkenaan meningkat kepada 148 pada 2014 menyaksikan pertambahan 11.28 peratus.
Ia membabitkan pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun dengan kes curi motosikal dan gaduh sebagai penyumbang utama.
Zakaria berkata kes jenayah melibatkan pelajar perlu dibanteras secara holistik dan semua pihak harus memainkan peranan masing-masing termasuk ibu bapa.
Terdahulu Polis Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri mengadakan pertemuan di Pejabat Pendidikan Negeri di Kuala Terengganu.