Polis bantuan maut kereta terbabas langgar tiang elektrik

Sinar Harian
Jun 27, 2024 10:30 MYT
Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbabas melanggar tiang elektrik di Kilometer 77 Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian
PEKAN: Polis bantuan maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar tiang elektrik di Kilometer 77, Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Rabu.
Dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Ariffudin Mohd Ramly, 33 beralamat dari Bandar Jengka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kemaman menghala ke Melaka.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan sebelah kiri.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami," katanya.
Mohd Zaidi berkata, punca kemalangan dipercayai terbabas sendiri dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian
#Nahas #polis bantuan #terbabas #tiang elektrik
;