Polis bantuan maut dirempuh ketika bantu kereta rosak di Jambatan Kedua Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 14, 2023 17:20 MYT
Jun 14, 2023 17:20 MYT
BATU KAWAN: Seorang anggota Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) maut dalam kemalangan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah awal pagi tadi.
Menurut kenyataan JKSB, Musyiri Bakar, 49, meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu membantu sebuah kereta yang rosak di tepi jalan di KM11.6 dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.
"Secara tiba- tiba sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda menyebabkan mangsa yang berada di hadapan kenderaan berkenaan tercampak ke lorong motosikal.
"Mangsa kemudian dilanggar sebuah motosikal yang turut melalui kawasan terbabit.
"Penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," kata kenyataan itu hari ini.