Polis bantuan bersama 28 penjenayah lain ditahan dalangi kes culik

Astro Awani
Februari 8, 2018 16:54 MYT
Serbuan dilakukan di sekitar Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan suspek berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
Polis menumpaskan kumpulan penculik yang didalangi polis bantuan dengan tertangkapnya seramai 29 individu termasuk lima wanita dalam serbuan berasingan sejak 3 hingga 31 Januari lalu.
Serbuan dilakukan di sekitar Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan suspek berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, penahanan kesemua suspek itu susulan satu kes penculikan untuk tebusan melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pengurus syarikat pengangkutan di Bandar Baru Sungai Buloh pada 12 Disember tahun lalu.
“Mangsa diculik menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
“Mangsa bagaimanapun dibebaskan pada 3 Januari di Bemban, Melaka selepas wang tebusan berjumlah RM500,000 yang diminta suspek telah diperoleh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Mazlan, hasil laporan polis yang dibuat, tiga lelaki berjaya dicekup pada 3 Januari lalu dan soal siasat membawa kepada penahanan 26 lagi suspek.
Beliau berkata, dalam serbuan ini sejumlah RM124,400 wang tebusan berjaya dirampas semula dan dua akaun bank dengan nilai RM14,000 dibekukan.
Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol palsu jenis Revolver 3.8, 450 butir peluru hidup 9mm dan 40 butir peluru hidup Winchester selain enam buah kenderaan jenis Proton Waja, Iswara, Ford Ranger, Perodua Myvi dan Viva.
Mazlan berkata, dalam pada itu, siasatan mendedahkan kumpulan yang aktif sejak dua tahun lalu itu didalangi seorang polis bantuan berusia 42 tahun yang bekerja di sebuah kementerian di Putrajaya sejak 20 tahun lalu.
“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berjaya menyelesaikan enam kes samun premis pengurup wang di Lembah Klang, satu kes bunuh di Kuala Lumpur dan kes melarikan orang di Pulau Indah tahun lalu.
Kes disiasat mengikut Akta Culik 1961 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
#bank #bunuh #culik #jenayah #kereta #keselamatan #Ketua Polis Selangor #lelaki #mangsa #Mazlan Mansor #samun #siasatan #suspek #wanita
;