Polis arah kesan sekolah dan pelajar terbabit video buli
Astro Awani
November 5, 2014 21:07 MYT
November 5, 2014 21:07 MYT
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri untuk mengesan sekolah serta remaja yang terbabit dalam dua klip video berkenaan.
Pihak polis juga merayu kepada orang ramai, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar terlibat yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk tampil ke hadapan membantu siasatan.
Baru-baru ini, satu klip video berdurasi empat minit 37 saat dimuat naik di laman sosial memaparkan aksi sekumpulan remaja lelaki membelasah sembilan remaja di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah.
Manakala sebuah lagi klip video berdurasi enam minit 51 saat memaparkan seorang remaja lelaki dipukul oleh beberapa remaja lelaki di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah turut tersebar.